123, Example Street, City 123@abc.com 123-456-7890 lasantha.wam

Tuesday, 24 March 2015

lorong hitam (cerpen)



16 disember 1991 adalah tarikh keramat yang tertulis di loh mahfuz. Setelah sembilan bulan dikandungkan oleh ibu dengan keadaan sarat yang terpaksa ditanggung. Seorang permata hati telah dilahirkan dalam keadaan selamat. Dilahirkan didalam keluarga yang cukup sempurna, sangat berbeza dengan anak seorang pengemis. Dengan kemewahan dan keselesaan bak raja-raja. Tapi malangnya kesempurnaan materialistik itu bersifat sementara.
Babak seorang bapa yang kuat bekerja,tegas dan berani. Dia akan lakukan apa sahaja demi mendapatkan kemewahan dan kesenangan. Dalam pada itu juga babak seorang yang panas baran. Mak selalu menjadi tempat untuk melepaskan emosi, malahan sewaktu aku masih kecil, aku juga selalu menjadi tempat melepaskan geramnya. Tetapi jauh di sudut babak masih lagi ada rasa sayang dan cinta. Cuma sikap egoisnya yang meraja telah menutup hati baiknya bagi babak wang ringgit adalah kasih sayang. Dengan itu, kami sekeluarga ditaburi dengan wang ringgit untuk menikmati kehidupan sementara ini.
Mak pula seorang yang sangat penyayang. Kemana saja dia pergi pasti ada aku. Baginya akulah teman hidupnya. Mak ibarat sahabat karib kerana dia terlalu setia bersama aku, yelah,ibu katakan. Segala keinginan aku pasti akan dituruti, wang ringgit, permainan, pakaian dan segalanya hanya kerana aku. Hinggakan mak sanggup menahan kesakitan untuk aku kerana acap kali babak memukul aku, mak pasti akan menghalang dan menahan kesakitannya. Cukuplah mak di dunia ini. Aku tidak perlukan yang lain selain emak.
Aku juga punya adik-beradik, dua orang abang dan seorang kakak. Yang ketiga-tiganya menyayangi aku. Tetapi malangnya hanya sementara. Hubungan darah daging yang tidak dapat dinafikan sampai bila-bila, kini tiada lagi tersirat.
24 oktober 2012 hampir setahun aku menyelusuri kehidupan di dalam penjara atas kesalahan merompak. Kini aku kian kenal erti kehidupan di atas dunia yang fana ini. Memang benar dunia ibarat pelabuhan kita manfaatkan kehidupan di dunia sebagai bekalan di akhirat kelak. Segala ilmu agama yang tidak pernah aku ketahui semasa diluar kini aku dapat pelajari di dalam penjara. Di penjara ini segala pengalaman pasti akan aku jadikan sebagai teladan dan pengajaran untuk aku tempuhi kehidupan yang akan datang.
Sebenarnya kehidupan aku kini tidaklah sama seperti aku gambarkan seketika tadi. Segalanya telah berubah mengikut peredaran masa. Aku tidak lagi mempunyai emak yang layaknya sebagai sahabat karib yang senantiasa menemani aku. Selepas babak dan mak bercerai ketika aku berumur sepuluh tahun segalanya telah berubah.
“abang tak perlu nak pukul-pukul saya lagi kerana cemburu dan fitnah orang, kalau abang percaya sangat dengan fitnah itu, abang lepaskan saya!.” Kata-kata itu diucap oleh mak diiringi esakan tangisan yang tanpa henti.
Suatu ketika itu amat membuatkan aku terpana. Aku masih kecil untuk mengerti keadaan yang memilukan itu. Malah orang disekeliling yang juga ahli keluarga dan saudara kami turut bersedih. Kata–kata mak tadi juga dibalas babak dengan diiringi sorak-sorai syaitan laknatullah.
“abang lepaskan kau!, kerana itu yang terbaik . lafaz ini disaksikan keluarga yang ada di sini.” Kata-kata itu berdesing seperti desingan kipas antik zaman dahulu yang amat membingitkan telinga, bahkan desingan kata-kata itu juga terasa sakitnya sehingga ke batin setiap yang mendengarnya. Walaupun keadaan ketika itu amat sedih, tetapi aku yang masih kecil tidak dapat memahaminya. Tetapi kini jika diimbas kembali, pasti aku akan menangis seperti orang yang meratapi kematian. Kerana  perpisahan itu amat memilukan, lagi-lagi melibatkan ibubapa aku.
Selepas hari itu hak penjagaan aku diberikan kepada babak. Kerana beliau lebih mampu. Kebanyakan orang pasti ingin mengikuti ibu tetapi, aku telah mengikuti babak. Aku masih kecil waktu itu, jadi mungkin aku tidak mengerti situasi sebenar.
Keadaan itu sangat memilukan bagi babak, mungkin selama itu dia tidak menguruskan aku. Jadi bila tiap kali dia menguruskan aku untuk ke sekolah pasti diiringi dengan kesedihan. Babak berubah sepenuhnya ketika itu, dahulunya dia tidak pernah menguruskan aku, kini dia ibarat seorang ibu yang menguruskan segala-galanya tentang aku. Walaupun ada kekurangan antara kami, tapi itu tidak menghalang kebahagiaan kami. Tiap kali cuti persekolahan pasti kami akan meluangkan masa untuk pergi makan angin, untuk menghilangkan kesedihan kami. Babak memang seorang ayah yang terbaik. Kenangan ini sangat indah bagi aku, tetapi kebahagiaan ini tiba-tiba hilang kerana kehadiran orang ketiga yang tidak sepatutnya hadir.
Kehadiran Aunty Yan pada mulanya menambahkan lagi kebahagiaan kami. Tapi, apabila masa semakin berputar kebahagiaan kami seakan hilang tanpa dapat dikesan. Ibarat tongkang pecah dilanggar garuda. Jiwanya masih muda untuk menjadi seorang ibu untuk aku. Dia tidak pernah memahami kehendak aku sebagai seorang anak. Segala pengurusan aku, aku lakukan sendiri. Termasuklah makan dan minum. Aku ibarat seorang musafir yang menumpang di rumah babak ini. Keadaan ini membuatkan aku cukup tersiksa dan tertekan. Ibu tiri seperti ini sepatutnya tidak hadir dalam hidup aku, tetapi apakan daya.
Babak juga semakin berubah, mungkin kerana ibu tiri aku yang terlalu mengikut arus semasa membuatkan babak bekerja lebih dari kemampuan untuk mendapatkan wang ringgit, agar ibu tiri aku dapat beli barang yang kemahuannya. Aku sebagai anak, tidak dapat apa yang dimiliki ibu tiri aku. Tetapi, sesuatu yang pasti aku tidak perlukan materialistik dalam kehidupan aku.
Kenangan-kenangan itu terngiang-ngiang di minda aku. Kerana aunty yan adalah kenangan pahit bagi aku. Tidak aku nafikan Aunty Yan juga banyak mengajar aku tentang dunia sosial seperti berkawan, berhibur, berfesyen dan sebagainya. Aku berterima kasih dengan apa yang telah di didikkan kepada aku.
Apabila aku telah menginjak ke alam remaja, kehidupan aku lebih sosial. Aku berkawan dengan berbagai jenis manusia, tetapi aku yang sudah biasa berdikari dapat aku bezakan mana baik dan buruk.
Dengan kehidupan yang mewah aku bebas lakukan apa sahaja. Aku selalu pulang lewat ke rumah. Aku banyak menghabiskan masa di pusat siber. Zaman milennium, teknologi maklumat itu penting. Maka aku habiskan banyak masa di pusat siber. Di sini aku sering bersembang, mendengar lagu dan bermain permainan video. Sekiranya di rumah pun aku lebih suka memerap di dalam bilik. Kerana, aku malas jadi hamba abdi di rumah sendiri.
Bila babak tiada di rumah, ibu tiri aku ibarat permaisuri. Segala kerja di rumah aku yang perlu uruskan, kalau tidak aku akan dileter sepanjang hari, malah aku juga bakal menjadi mangsa fitnah, bila dia adukan kepada babak. Dia sering mengatakan bahawa aku pemalas, pengotor serta kurang ajar. Hinggakan aku dibelasah teruk oleh babak kerana fitnah Aunty Yan itu.
“Hoi budak! Kau pergi kemas dapur sana! Suka-suka kau balik sekolah nak duduk saja dalam bilik. Baik kau kemas, kalau tak aku bagitahu bapak kau!.” Patah-patah ini sering diucapkan kepada aku jikalau aku berada di rumah.
“abang, anak abang ni pemalas lah, mintak tolong kemas dapur pun dia tak nak. Ada dia marah saya pulak!.” Babak sering mendengar kata-kata ini dari Aunty Yan. Itulah yang membuat aku sering dibelasah oleh babak.
Walaupun aku banyak menghabiskan masa dengan bersosial tetapi prestasi aku disekolah tidak pernah merosot. Malahan dari segi akademik dan kokurikulum, aku pasti akan dipuji oeh guru. Walaupun masalah keluarga sentiasa menghantui aku, tetapi kehidupan disekolah aku lalui tanpa memikirkan masalah keluarga. Mungkin kerana aku telah biasa berdikari, itu yang dapat aku membezakan masa bersekolah dan masa bersosial.
Tetapi mana ada manusia yang dapat bertahan dengan masalah yang semakin hari semakin menjadi-jadi. Apabila aku tamat, aku tekad keluar dari rumah. Aku cuba untuk hidup sendiri. Aku menginap di kilang plastik babak. Babak tidak menghalang, kerana itu lebih baik kerana aku boleh menjaga kilang itu. Dalam masa yang sama memang aku bekerja dengannya di kilang ini.
Babak mempunyai sebuah kilang memproses plastik. Perniagaan ini memang menguntungkan kerana permintaan terhadap plastik adalah tinggi. Itulah yang membuatkan babak semakin hari semakin senang. Maka dengan kesempatan ini, aku gunakan untuk hidup sendiri, makan sendiri, wang sendiri, pakai pun sendiri. Kerja sambil belajar dengan babak banyak mendidik aku untuk menjadi seorang yang berdedikasi dan bertanggungjawab. Malahan aku juga diajar untuk menjadi seorang pemimpin yang berwibawa.

Aunty Yan tetap mencemburui aku. Atas sebab aku banyak menguruskan kilang. Pada dia aku tidak layak dan tidak sepatutnya dapat kedudukan ini. Jawatan pengurus operasi yang aku sandang ibarat tiada apa-apa kerana menjadi rebutan oleh bapa saudara dan abang-abang aku.
“kau tu kecik lagi. Tak layak uruskan kilang ni... budak umur 18 tahun bagusnya duduk rumah aje... kau biarkan abang-abang kau ni urus kilang... Dah pergi balik... kau nak jalan-jalan ke, apa ke, terpulang ok...” kata-kata ini ibarat sebatang jarum yang tumpul menusuk jantungku. Bertapa perihnya sakit yang aku rasakan.
Selepas menempuh pelbagai dugaan hinggakan aku sendiri tersepit dengan fitnah oleh keluarga. Aku bertekad lari dari semua ini. Tinggalkan segalanya. Tiada lagi babak dan kerabatnya yang akan menyakiti hati dan jiwa mentah aku ini. Bagi aku, harta babak tak akan kemana kalau direbut-rebutkan.
Allahuakhbar... allahuakhbar......
Laungan azan menandakan masuk waktu subuh. Setiap kali usai solat pasti aku akan menadahkan tangan kepada ilahi untuk memohon doa kebaikan dunia dan akhirat kepada semua ahli keluarga aku.
“ya allah, ya tuhanku. Ampunkanlah dosa hambamu yang kerdil ini dan berikanlah aku kekuatan untuk menghadapi hari-hariku. Ya allah, ya tuhanku yang menguasai seluruh alam semesta. Kau ampunilah dosa seluruh ahli keluargaku terutamanya mak dan babak dan yang masih hidup atau yang telah pergi ke sisi mu ya allah. Ya rabb, ya rabb, ya rabb. Kau berikanlah kepada kami kebaikan du dunia dan akhirat ya allah dan sesungguhnya kepada engkaulah kami memohon keampunan. Juga selawat dan salam kepada nabi junjungan muhammad sallahualaiwasalam, sahabat-sahabat baginda dan ahli keluarga baginda. Amin, amin, amin ya rabbal alamin...”
Dahulu waktu aku masih lagi bebas. Aku tak pernah menyambut seruan solat. Tetapi kini aku bersyukur kerana aku semakin dekat dengan yang maha pencipta. Selama aku dipenjara ini, babak dan aunty liya yang sering melawat aku. Tidak ada orang lain selain mereka yang sudi melawat aku. Termasuklah kakak aku yang dahulunya setia susah dan senang bersama aku.
Dahulu, aku lari dari penjagaan babak. Aku menumpang hidup bersama Kak Aj, dia bekerja sebagai penjual DVD di ibu kota. Kak Aj punya rumah sewa yang dahulunya disewa oleh mak aku. Mak telah pulang ke sarawak bagi menjaga atuk dan nenek yang sudah tua. Maka, kakak aku tinggal berseorangan di rumah ini. Kehadiran aku disambut baik oleh Kak Aj, kerana dia sememangnya faham dengan kedudukan aku.
Tetapi waktu aku hidup dengan Kak Aj, aku kenal erti susah hinggakan makan nasi hanya sekali dalam sehari. Itupun berlaukkan ikan bilis masak kicap. Malahan telefon bimbit tidak punya wang kredit hampir berminggu. Dalam keterpaksaan, aku terpengaruh dengan rakan-rakan yang punya kehidupan mewah. Kehidupan mereka memang senang. Mereka punya kereta mewah, pakaian yang berjenama, malah kekasih yang cantik bak bidadari. Akan tetapi pekerjaan mereka salah disisi undang-undang seperti merompak, menjual dadah dan sindiket pelacuran. Mereka juga adalah ahli kongsi gelap yang memang ditakuti disekitar ibu kota ini.
“wey lengchai,jom la ikut wa orang semua, kita control ini town. Macam-macam business kita boleh bikin maa.... mana ada orang berani sama geng kita maa... kita king sini tau...” dengan slanga ala cina itu, membuat aku terpengaruh. Mereka ini sangat terkenal. Malah, kawasan yang mereka naungi juga sangat besar.

Setelah aku sertai kumpulan mereka, kehidupan aku menjadi lebih senang. Aku punya dua buah kereta import mewah iaitu Nissan Skyline R34 GT-R yang menjadi kereta lagenda dunia di zaman ini dan BMW M5. Pakaian aku juga berjenama yang setiap satunya aku akan beli di singapura atau beli di butik sekitar ibu kota. Malahan wang simpanan aku semakin hari semakin bertambah. Tetapi tidak dapat aku nafikan wang itu dari pekerjaan yang haram.
Di dalam kumpulan ini aku telah diberikan kepercayaan oleh ketua aku unutk menjaga sebuah kawasan di tengah kota. Di kawasan ini, aku dapat wang perlindungan dari semua tauke kedai, agar kedai mereka tidak akan diganggu oleh samseng-samseng yang lain. Malah, aku juga menguruskan beberapa perniagaan seperti kelab malam, pusat perjudian, hotel bajet dan perkhidmatan pelacuran. Kumpulan kami ini sangat besar dan kuat pengaruhnya. Baik orang politik, golongan korporat dan penjawat awam. Kesemua mereka inginkan kekayaan. Dalam dunia gangster ini kekayaan dan kedudukan adalah pegangan. Hinggakan aku lupa akan takdir hidup aku.
“LFC adalah gelaran lu sekarang. Ini baju lu sarung, wa tak mau lu masuk karung. Area uptown lu punya sekarang. Itu kawasan kasi angkat sampai lu punya rank pun terangkat. Hahaha...” kata-kata angkun atau ketua aku selepas aku dilantik sebagai ahli dan brother di dalam kumpulan kongsi ini.
“aku dah jadi taiko sekarang... aku ada duit, aku ada betina, semua aku ada..hahaha...” kata yang sering meraja di bibir aku.
Adat dunia yang sering dikaitkan dengan hukum karma, setiap yang ada di atas akan berada di bawah pula. Ibarat roda yang berputar. Sekian lamanya aku bermaharajalela. Akhirnya aku kecundang. Aku telah diperangkap oleh ahli-ahli yang memang seteru dengan aku. Mereka punya title tetapi tiada kuasa dan kawasan. Itu yang membuatkan mereka iri hati dengan aku. Hingga mereka sanggup menjadi sumber maklumat polis. Sekian lama pihak polis cuba memberkas aku tetapi tidak berjaya. Kini dengan bantuan barua-barua itu. Aku terkulai layu diberkas. Tiada apa yang dapat membantu. Sungguh mereka gembira dengan tertangkapnya aku.


Hari malang....
Pagi-pagi buta lagi aku telah dikejutkan dengan satu insiden. Dimana tiger selaku orang kanan aku telah mati ditembak di pusat perjudian aku. Aku tahu dia disana untuk menjaga seorang pelanggan, dari negara terkenalnya dunia kongsi gelap iaitu china. Malangya ada kumpulan yang mensabotaj premis aku dan mengatakan pusat perjudian ini tidak berlesen dan mengganggu ketenteraman awam. Maka premis kami telah diserbu oleh pihak berkuasa,  dalam masa yang sama juga identiti aku telah terbongkar, tetapi mereka tidak punya sebarang bukti untuk menangkap aku. Ahli kami yang membelot telah memerangkap aku. Mereka telah meletakkan beberapa hasil rompakan kedai emas dan stok dadah di pejabat aku yang berada di salah sebuah hotel aku. Maka pihak polis telah menggunakan kelebihan itu sebagai bukti untuk memberkas aku. Hanya sekelip mata aku kehilangan segalanya. Harta-harta yang telah disimpan habis semuanya disita. Malah kedudukan aku aku juga telah diganti dengan seorang yang pembelot. Kini aku ibarat kayu yang tumbang, kura-kura pun hendak memanjatnya.

Penjara...
Kini hidup aku lebih teratur dan berdisiplin. Malah santapan rohani yang telah diberikan cukup membuatkan aku bersemangat dan tawaduk terhadap perintah ilahi. Dua tahun telah aku lalui, masih lagi berbaki tiga tahun untuk aku teruskan perjalanan di dalam penjara ini. Aku tidak salahkan sesiapa, dengan apa yang telah berlaku. Segalanya aku terima dengan redha. Ada hikmah di sebalik apa yang telah berlaku di dalam kehidupan ini.
Di penjara ini, aku telah diberi peluang untuk menyertai perbagai program dan pertandingan. Aku sering mewakili penjara dalam pertandingan sketsa, deklamasi sajak, menulis puisi dan cerpen. Malahan, aku juga pernah mendapat tempat pertama dalam pertandingan tarik tali bagi kejohanan sukan penjara. Disamping itu, keputusan peperiksaan SPM aku juga amat memberangsangkan, aku bersyukur dengan kehendak ilahi ini.
Aku dimasukkan dalam penjara dan kini aku tahu aku punya bakat-bakat yang terpendam. Mana tahu, kelak aku akan menjadi seorang penulis hebat seperti dato’ baha zain iaitu sasterawan negara. Apa yang pasti aku akan meneruskan perjuangan dan aku akan pulang untuk menjadi seorang yang baru. Harapan aku, agar keluarga tersayang akan menerima aku seadanya kerana tiada manusia yang lahir tidak melakukan kesilapan. Lorong hitam hanya menuju ke jalan jahanam.




~Tamat~
Sekian terima kasih
Tulisan semula pada 15hb mac 2015


Bayu al-amin / muhammad noorariff bin bakran

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts

Recent Posts

Unordered List

Text Widget


http://goo.gl/BB7CIz" target="_blank">https://scontent-hkg3-1.xx.fbcdn.net/hphotos-xap1/v/t1.0-9/1480694_444597492379150_6425185651852275507_n.jpg?oh=750b97507bc7ec620bf6f420c3fb8cf6&oe=55F0A732" style="width: 250px; height: 300px;" />

http://goo.gl/BB7CIz" target="_blank"> EDISI TERHAD
Powered by Blogger.